MUDA

PRN: MUDA mahu menongkah arus gelombang hijau di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Langkah Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini disifatkan sebagai tindakan berani dalam menongkah arus gelombang hijau di Terengganu.

Mengakui laluan yang akan ditempuh penuh mencabar, calon kerusi berkenaan, Luqman Long berkata, mereka mahu mengetepikan stigma terhadap parti baharu serta berpegang terhadap kemahuan rakyat yang akan diterjemahkan ketika hari pengundian pada 12 Ogos nanti.

 

“Kita akui laluannya bukan mudah dan sangat mencabar, namun harus diingat Terengganu adalah ‘swing state’ yang mana rakyatnya berani membuat perubahan demi kebaikan mereka.

“Tiada mana-mana parti politik sama ada UMNO atau Pas boleh mendabik dada mendakwa mereka selamat di Terengganu kerana iklim politik negeri ini sentiasa berubah-ubah,” katanya ketika ditemui pemberita, baru-baru ini.

 

Menurut Luqman, peluang sentiasa terbuka untuk mana-mana parti bertanding kerana pengundi sudah semakin cerdik dan mahukan alternatif baharu serta kepimpinan yang lebih telus, profesional dan amanah.

“PRN kali ini adalah tapak awal untuk Muda mengembangkan ideologi dan pemikiran politik baharu untuk rakyat Terengganu.

 

“Ia perlu bagi memastikan mereka tidak perlu taasub kepada mana-mana parti politik kerana dasar dan polisi yang dibuat pemimpin akan memberi keuntungan kepada rakyat,” ujar beliau.

PRN di DUN Bandar kali ini bakal menyaksikan berlakunya pertembungan tiga penjuru antara Muda, Pas dan UMNO.