MUDA

MUDA umum enam lagi calon, termasuk di Pulau Pinang dan Terengganu

Muda mengumumkan enam lagi calon untuk enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Empat daripada calon berkenaan akan bertanding di Selangor, manakala masing-masing seorang akan bertanding di Pulau Pinang dan Terengganu.

Calon Selangor ialah Al Hafiz Ikhwan Mohamad Asaad (Dusun Tua), Siva Prakash Ramasamy (Kuala Kubu Bharu), Dobby Chew (Seri Setia), dan Afriena Shaqira Sariff (Sungai Kandis).

Manakala calon di Pulau Pinang ialah Priyankaa Loh (Pantai Jerejak) dan calon Terengganu ialah Pengarah Pilihan Raya Muda Luqman Long (Bandar).

Seperti sebelum ini, kecuali kerusi Bandar, semua kerusi lain yang diumumkan oleh Muda calon setakat ini dipegang oleh Pakatan Harapan (PH).

Al Hafiz, 33, kini merupakan pengerusi Muda Selangor. Dia sebelum ini merupakan ahli bahagian Bersatu Hulu Langat tetapi telah ditamatkan perkhidmatan pada 2020 berikutan Langkah Sheraton.

Penyandang Dusun Tua adalah Edry Faizal Eddy Yusof.

Calon Kuala Kubu Bahru Siva, 40, yang dibesarkan dalam keluarga miskin di Cheras berhasrat memperjuangkan hak pendidikan untuk rakyat. Dia juga merupakan timbalan pengerusi Muda Selangor.

 

Penyandang kerusi DUN itu ialah Adun dua penggal dari DAP Lee Kee Hiong.

Di Seri Setia, Chew ialah ketua biro hak asasi manusia Muda dan penyelaras eksekutif Rangkaian Anti-Hukuman Mati Asia.

Anak kelahiran Petaling Jaya berusia 33 tahun itu juga merupakan setiausaha pergerakan Liga Rakyat Demokratik.

Penyandang kerusi yang ditandinginya ialah Shaharuddin Badaruddin daripada PKR.

Sementara itu, calon Muda Sungai Kandis, Afriena, 26 adalah bendahari Muda Selangor.

Dia menyatakan keazaman untuk meningkatkan ekonomi masyarakat di Sungai Kandis.

Penyandang kerusi Sungai Kandis ialah Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR.

Di Pulau Pinang, Loh, yang akan bertanding di kubu kuat PKR di Pantai Jerejak, adalah ketua biro pendidikan belia Muda di negeri itu.

Anak muda 27 tahun itu ialah seorang guru tuisyen di sebuah sekolah yang berpangkalan di Itali dan mengadakan sesi pengajarannya dalam talian.

Penyandang kerusi Pantai Jerejak ialah Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Sementara itu, Luqman, 29, adalah ketua penerangan Muda dan setakat ini merupakan satu-satunya calon parti yang bertanding di kerusi yang dipegang PAS.

Ahmad Shah Muhamed ialah penyandang bagi DUN Bandar.

Setakat hari ini, Muda telah mengumumkan 10 calon untuk diletakkan di tiga negeri berbeza.

Minggu lalu, parti itu mengumumkan kumpulan pertama calon untuk pilihan raya negeri di Selangor, diketuai oleh setiausaha agung parti Amir Hariri Abd Hadi.

Selain Amir yang akan bertanding di Sri Serdang, calon Muda yang lain ialah Saiyidah Izzati Nur Razak Maideen (Batu Tiga), Thanusha Ramanieswaran (Sentosa), dan Melanie Ting (Bukit Antarabangsa).