MUDA

MUDA kerjasama dengan PSM hadapi PRN

KUALA LUMPUR: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) mengesahkan akan bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata kerjasama itu akan berlandaskan lima tunjang utama termasuk menolak politik perkauman dan mengangkat nasib rakyat terbanyak dan terpinggir.

Tunjang seterusnya, katanya, adalah membawa kepada demokrasi tulen, pembangunan seimbang dan inklusif serta isu yang membabitkan alam sekitar atau perubahan iklim.

Beliau berkata, MUDA dan PSM ingin bersama memegang kepada prinsip termaktub dalam Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan bagi mengharungi PRN.

“Kedua-dua parti secara sedar ingin mewujudkan wadah perjuangan yang menolak politik perkauman yang kian menjadi untuk menumpu kepada pengwujudan dasar penting.

“MUDA dan PSM ingin gerak bersama mengangkat aspirasi rakyat, terutamanya rakyat terbawah dan terpinggir, bermula daripada PRN Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika sidang media khas di Bilik Gerakan Utama MUDA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata kedua-dua parti bersetuju bahawa satu calon sahaja akan ditetapkan untuk mewakili MUDA dan PSM supaya tidak ada pertembungan kerusi dalam PRN akan datang.

Mengulas dakwaan penyertaan MUDA pada PRN yang berisiko mengundang perpecahan undi, beliau sebaliknya menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan perkara itu.

“Penyertaan MUDA untuk membawa suara politik baharu dalam negara. MUDA mahu memperkasakan institusi rakyat supaya mana-mana pihak yang membentuk kerajaan pada masa akan datang, Malaysia akan berada di landasan yang betul.

“Ini akhirnya akan menyebabkan institusi demokrasi semak dan imbang sangat kuat dan baik. Ia mengangkat politik khidmat dan politik dasar serta menolak politik perkauman,” katanya.